Petua Hilangkan Lebam Bawah Mata

Rutin yang memerlukan anda bekerja di depan komputer, kurang tidur dan kekurangan nutrisi akan menyebabkan mata letih. Bila hal ini berterusan, kesan lebam bawah mata pun mulai muncul.


bekerja depan pc



Bilamana lebam bawah mata tu mula kelihatan, anda tentu panik, kan? Segan pun ada gak. Tapi nak buat camne, anda sendiri yang mengabaikan kesihatan mata.

Bila bekerja di depan komputer, susah nak berhenti. Walaupun sekejap aje. Secara tak langsung, anda sebenarnya memaksa mata untuk terus bekerja. Mata anda pun tahu letih gak.

Jika terus dipaksa, corak kulit bawah mata akan kebiruan atau bertambah gelap. Ini kerana berlakunya pembesaran pembuluh darah. Semakin banyak darah yang ada di kawasan bawah mata, itu yang membuatkan warnanya kelihatan lebih gelap berbanding warna kulit muka yang lain.


kedutan bawah mata



Justeru, untuk hilangkan lebam bawah mata yang kelihatan, anda amalkanlah beberapa perkara;



1. Banyakkan meminum air kosong.

Lebih lebih lagi jika anda seorang aktif melakukan pelbagai aktiviti. Pengambilan air kosong amat baik untuk menjaga kesegaran kulit mata.



2. Makan sayur-sayuran hijau

Andainya anda kurang nutrisi, mulai sekarang tambahkan sayuran hijau dan makanan yang kaya dengan antioksidan dalam menu harian.



3. Gunakan timun atau tomato

Hirisan timun ataupun tomato boleh anda tekapkan pada kedua-dua mata selama beberapa minit. Ataupun boleh tekapkannya semalaman sebelum masuk tidur.



Namun begitu, lingkaran hitam bawah mata juga disebabkan oleh faktor keturunan. Cuba lihat pada mata ayah dan ibu anda. Adakah bahagian bawah mata mereka ada rona hitam?

Jika ada dan seawal usia remaja rona hitam telah muncul di bawah mata anda, berkemungkinan besar ia adalah faktor keturunan.



Sekiranya anda berminat mengetahui info tambahan berkaitan lingkaran hitam bawah mata, sila ke artikel terdahulu. Saya ada sediakan pautannya di bawah;

4 Jenis Jerawat Biasa Mungkin Tumbuh Pada Kulit Anda

Artikel berkaitan jenis jerawat telah lama diminta oleh beberapa rakan yang pernah mengunjungi blog ini. Jadi, saya pun cuba sedaya upaya melakukan kajian serta rujukan bagi memudahkan anda memahami jenis jerawat yang boleh dirawat. Pun begitu, saya mohon maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyediakannya. 

Cuma untuk artikel kali ini saya hanya fokuskan pada jerawat biasa. Suka saya ingatkan semula, jerawat biasa. Bukannya jerawat serius. Jerawat biasa terbahagi kepada empat jenis iaitu:


1. Komedon Tertutup ataupun Whitehead


Whitehead atau dalam Bahasa Melayu dipanggil bintik putih berlaku apabila pergerakan sebum ke permukaan kulit tersekat. Pada masa yang sama pula bakteria telah merebak. Apabila pergerakan kedua-duanya tersekat, maka terjadilah bintik putih.

Hasilnya jadilah seperti paparan di bawah;




2. Komedon Terbuka ataupun Blackhead



Blackhead ataupun bintik hitam pula bermula apabila liang halus pada permukaan kulit terbuka dan memberi ruang kepada udara melaluinya. Kemudian, melanin (penentu warna kulit anda) yang terkandung dalam sebum bertukar menjadi gelap (hitam) apabila terdedah kepada udara. Melanin yang bertukar menjadi gelap itulah yang anda nampak sebagai bintik hitam seperti di bawah.

Cuba "zoom" mata anda pada bahagian hidung. 





3. Papule

Papule merupakan benjolan merah dan keras yang timbul pada permukaan kulit. Atau mungkin ada di antara anda lebih faham jika saya katakan ia seperti bintat. Saiznya agak kecil saja. Tidak melebihi 5mm pun.



4. Pustule

Keadaan jerawat pustule juga kelihatan bengkak seperti jerawat papule tetapi berbentuk kubah. Ia juga lebih sensitif.



Ia juga merupakan jangkitan koloni P. Acnes (bukan Agnes Monica yer) dalam kelenjar minyak yang telah tersumbat dan menyebabkan ia bernanah.


Moga paparan jenis-jenis jerawat di atas membantu anda mengenalpasti jenis jerawat yang dihadapi. Kalau tiada, bermakna tahap jerawat anda dah serius. Mungkin nodul, takpun sista (cyst). Bila dah kronik lagi susah untuk dirawat serta rawatannya pun memakan masa lebih lama.

Saya cadangkan anda rawat sebelum terlewat. Jangan tunggu sampai dah parah baru nak rawat. Saya bimbang ia lagi sukar untuk dirawat. Akibatnya, anda mungkin terpaksa bayar lebih untuk kos rawatan.

Petua Merawat Bisul, Kesan Bengkak dan Patah Tulang

Petua tradisional ini ditujukan khas kepada anda yang mengalami sama ada bisul, kesan bengkak tubuh badan ataupun patah tulang. Untuk makluman, kaedah rawatan bagi ketiga-tiga masalah di atas adalah sama. Iaitu menggunakan ranting Pokok Tetulang. Ada sesetengah memanggilnya Pokok Tulang-Tulang. Tak kisahlah tu. Janji ia adalah pokok yang sama.


Pokok Tetulang(Tulang-Tulang) @ Euphorbia Tirucalli


Pokok Tetulang ni tidak berdaun. Malah langsung tidak berbuah. Walaupun begitu keadaannya, ia tetap mempunyai khasiat tersendiri. Lebih-lebih lagi kepada manusia. Seperti yang saya katakan tadi, ia boleh digunakan sebagai rawatan untuk bisul, bengkak dan patah tulang. 


Caranya: 


1. Dapatkan ranting dahan Pokok Tetulang. Saya harap anda gunakan ranting yang masih segar ya.

 2. Layurkan ranting tersebut di atas api yang sederhana besar selama beberapa minit.

 3. Kemudian, biarkan ranting tadi seketika agar tidaklah melecur kulit anda nanti bila nak menuam pada tempat yang sakit.

 4. Bila tahap kepanasan ranting tadi dah berkurangan sedikit, tuapkannya secara perlahan-lahan pada bahagian yang sakit (bisul, bengkak atau patah). 

 5. Akhir sekali, balutlah bahagian yang telah dituap dengan kain bersih. Langkah ini perlu diulang beberapa kali sehinggalah kesakitan yang dialami beransur pulih.


Selamat Mencuba dan Moga Lekas Sembuh!

Usah Perlekeh Tumbuhan Bernama "Lalang"

Anda pernah dengar tak perangai manusia yang disamakan dengan lalang? Ataupun "umpama lalang". Sebenarnya, sifat sebegitu amat bahaya. Ini kerana, mereka yang bersikap sedemikian biasanya adalah seseorang yang tidak tetap pendirian. Senang dipengaruhi. Tanpa usul periksa, terus percaya bulat-bulat. Jika terus dibiarkan, ia boleh memecah-belahkan masyarakat.


Pokok Lalang - Wikipedia


Tapi, kalau sebelum ini anda anggap lalang tiada manfaat. Anda mungkin silap. Ataupun mungkin anda memang belumpun tahu khasiatnya.

Jadi, di sini saya akan kongsikan khasiat akar lalang. Ia sesuai untuk mengubati mereka yang mengalami;

  • Demam Kuning @ Penyakit Kuning
  • Gonorrhea
  • Batuk Pendarahan Dalam

Cara rawatannya pula seperti berikut;

  1. Ambil akar lalang dan bersihkannya terlebih dahulu.
  2. Rebuskan akar lalang tadi sampai mendidih.
  3. Setelah air rebusan mendidih, tapiskannya ke dalam gelas ataupun cawan.
  4. Biarkan ia suam dahulu sebelum meminumnya secara perlahan-lahan.

Begitulah serba sedikit khasiat akar lalang untuk mereka yang ada 3 penyakit di atas. Mudah-mudahan penyakit yang dialami dapat diubati. InsyaAllah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Buat Anda

Setelah menempuhi bulan Ramadhan Al-Mubarak, Syawal yang mulia kini menjelma. Moga segala amal baik sepanjang Ramadhan dapat diteruskan pada bulan yang seterusnya. Jika tidak dapat dikekalkan semua, sebahagiannya pun dah mencukupi. Lebih baik daripada meninggalkan semuanya, kan?

Di kesempatan ini, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon ampun kepada anda semua yang sudi mengunjungi blog petua sejagat. Segala kekurangan diri dan blog ini harap dapat dimaafkan. Saya akan cuba kongsi kandungan yang bermanfaat daripada semasa ke semasa untuk anda. Tanpa anda, tidak bermaknalah blog ini.


Ucapan Selamat Hari Raya khas buat anda


Saya doakan anda dapat mengawal nafsu terutamanya nafsu makan sebaik mungkin. Maklumlah, dah lama berpuasa di siang hari, usahlah berlebih-lebihan di hari kemenangan. Makanlah secara sederhana. Lagipun, banyak rumah yang perlu diziarahi, kan? Jadi, rancanglah kuantiti makanan yang patut diambil pada setiap rumah.

Saya faham situasi anda. Mungkin sesetengah rumah yang anda ziarahi tu menyediakan hidangan yang cukup mantap. Bak kata orang, "rugi kalau tak makan lebih". Tapi, anda haruslah ingat kesannya. Jika terlebih makan, macam-macam boleh jadi nanti. Terutamanya pada perut. Sakit perut, perut memulas dan macam-macam lagilah.

Selain itu, pastikan anda bawa bekal air kosong, air masak ataupun air mineral. Sebab saya pasti anda sukar jumpa air kosong bila bertandang ke rumah sanak saudara mahupun sahabat handai. Boleh kata semuanya menyajikan air manis. Jadi, anda perlulah sediakan sendiri jika sayangkan kesihatan diri dan keluarga. Kan?

Sebelum berundur, saya doakan segala urusan anda berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Sambutlah hari lebaran secara sederhana. Banyakkan senyuman dan usahlah lekas marah bila menghadapai dugaan di jalan raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Minyak Gamat Mampu Hilangkan Jerawat

Jika anda ke Langkawi, minyak gamat merupakan salah satu barang yang wajib dibeli. Bukannya apa, kegunaan minyak gamat ni banyak. Kalau anda lihat pada botol, ada tertulis beberapa khasiatnya seperti;

- Melegakan luka kecil

- Lenguh-lenguh sendi

- Gatal-gatal ringan

- Kembung perut

Kegunaan Minyak Gamat Hilangkan Jerawat


Anda cuma perlu sapu dan gosokkan minyak gamat tersebut pada bahagian yang sakit. Lakukan sebanyak 3 kali sehari. Mudah, bukan?

Tetapi apa yang lebih penting, saya nak kongsikan pengalaman peribadi mengenai keberkesanan minyak gamat yang anda patut tahu. Iaitu;

- Ia boleh surutkan jerawat seterusnya menghilangkan jerawat dengan izin-Nya

- Ia boleh menghilangkan kesan kemerah-merahan di muka

- Ia boleh menghilangkan kesan parut kecil yang masih baru


Pertamanya, dulu muka saya agak kerap ditumbuhi jerawat kecil ataupun jerawat biasa. Walaupun sentiasa amalkan rutin penjagaan muka yang sepatutnya, keadaannya tetap sama.

Saya pun naik hairan. Pelik. Apa lagi yang tak kena nih? Tanya saya pada diri sendiri.

Fikir punya fikir, saya pun nekad untuk sapu minyak gamat ke seluruh muka. Saya amalkan dalam 3 malam berturut-turut sebelum tidur. Alhamdulillah, jerawat pun beransur surut dan berjaya dihilangkan. Yeay!


Keduanya, masa menjalani latihan praktikal di sebuah kilang elektronik, muka saya pernah mengalami kemerah-merahan. Beberapa bulan pertama, keadaan muka ni baik-baik saja.

Tapi bila dah nak masuk bulan ke-4, keadaan muka saya mula kemerah-merahan. Terutamanya di pipi. Masa tu saya memang tak pasti apa punca sebenarnya. Malah secara jujurnya, sampai sekarang pun saya masih belum dapat jawapannya. Cuma apa yang saya agak, ia mungkin disebabkan alahan.

Sebab memang ramai kawan-kawan yang menegur dan bertanya mengenainya. Saya cuma senyum jer jawab yang saya pun tak tahu apakah punca sebenarnya. Sebab saya pun pelik. Takde hujan, takde ribut, alih-alih benda ni terjadi. Sabo aje la.

Bila tengok cermin, memanglah risau. Kenapa tetiba saja benda ni berlaku. Setelah dua tiga hari berlalu, saya teringat kembali pada jasa baik si minyak gamat. Kebetulan, kat rumah masa tu stok minyak gamat memang tak pernah putus.

Sekali lagi, setiap malam saya sapukan minyak gamat ke seluruh muka. Tapi, untuk kesan kemerah-merahan di muka ni, ia agak memakan masa. Kira-kira 3 ke 4 minggu barulah kemerahan tu hilang sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur sebab berjaya juga menghilangkan kesan kemerah-merahan tersebut. Alhamdulillah.


Akhir sekali, untuk parut kecil yang masih baru. Nak dijadikan cerita, masa tengah mengemas rumah kemaslah sangatttt, saya mengalami luka di tangan. Tapi masa tu, darah pula keluar tak berhenti-henti.

Oleh sebab minyak gamat memang sentiasa menjadi peneman di rumah, khidmatnya sekali lagi ditagih. Saya bersihkan dulu luka tu dan terus sapu minyak gamat. Beberapa minit kemudian, pengaliran darah yang keluar menjadi perlahan dan seterusnya berhenti.

Beberapa jam lepas tu, baru saya perasaan kesan luka tadi meninggalkan kesan parut. Aduh... Tanpa berlengah, saya sapukan lagi minyak gamat ke bahagian yang berparut. Untuk hari-hari yang berikutnya, saya sapu lagi sebanyak 3 kali sehari. Sampailah kira-kira seminggu.

Sekali saya bersyukur. Parut tu dah sekata dengan warna kulit. Macam tak percaya pula kesan parut tu boleh hilang. Alhamdulillah.

Begitulah serba sikit perkongsian yang dapat saya coretkan buat anda. Mudah-mudahan adik-adik, tuan puan ataupun rakan-rakan yang buntu dengan masalah jerawat, muka kemerah-merahan serta nak hilangkan parut kecil yang masih baru dapat menggunakan minyak gamat untuk mengatasi masalah yang menimpa kulit anda.

Saya doakan anda semua berjaya mengatasinya serta cantik luar dan dalam. Amiin.


3 Petua Jika Tangan Terkena Air Panas....

Baru-baru ini, tangan saya terkena air panas yang baru mendidih. Pergh... terus terdiam kejap. Semuanya berlaku semasa nak tuang air panas ke termos. Selama ni, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Tapi hari tu, entah mengapa.

Saya pun apa lagi. Terus cari minyak gamat. Memula rasa macam nak ke bilik air. Ambil ubat gigi. Tapi tak jadi. Lepas tu, tunggu apa lagi, terus lumurkan minyak gamat ke seluruh tangan yang kena air panas tadi.


Minyak Gamat


Syukur Alhamdulillah... lega sikit rasanya. Lepas dah kering sikit, saya sapukan lagi. Saya ulangi sehinggalah keadaan tangan saya kembali normal. Mujur tiada perkara buruk lain yang berlaku. Tangan pun dah kembali normal. Alhamdulillah.


Masa kena air panas tu, memang tak sempat nak rujuk memana petua. Apa yang terlintas hanyalah sama ada nak gunakan ubat gigi ataupun minyak gamat. Itu aje. Akhirnya, minyak gamatlah yang jadi pilihan.

Beberapa hari selepas itu, barulah hati saya tergerak nak cari petua lain yang berkaitan. Hasilnya, saya dapati sabun mandi pun boleh digunakan.

Caranya mudah saja. Gosokkan secara perlahan-lahan tangan yang terkena air panas dengan air sabun. Gosoklah sehingga tangan anda tidak terasa panas.

Itu saja. Mudah, kan?

Jadi, seandainya tangan anda terkena air panas, ada 3 benda yang boleh digunakan. Iaitu minyak gamat, ubat gigi dan air sabun.

p.s: Alhamdulillah... tak perlu risau lagi kalau kena air panas.

Petua Merawat Kudis dan Kudis Buta

Sebelum saya kongsikan petua merawat kudis buta, ada baiknya jika kita ketahui dulu serba sikit mengenai kudis buta.

Apa itu kudis buta?

Ia merupakan sejenis jangkitan kulit yang berjangkit akibat hama gatal (betina). Ia boleh dijangkiti melalui sentuhan kulit. Malah, semua orang terdedah kepada jangkitannya.

Terutamanya jika tinggal serumah dengan individu yang dijangkiti kudis buta. Ataupun berkawan rapat dengannya. Anda mesti merawatnya segera.

Walaubagaimanapun, kudis buta yang menjangkiti haiwan dikatakan tidak akan menjangkiti manusia. Ia hanya akan menyebabkan ruam.


Tapi, bolehkah kudis buta ni dirawat?


Kalau rawatan moden, anda boleh menyapu krim atau losyen pembunuh serangga. Antaranya seperti "permethrin", "malathion" dan "gamma benzene hexachloride (lindane)". Ish... susah betul nak sebut

Sebaliknya, jika anda dah buat rawatan moden tapi tidak berhasil, cubalah rawatan tradisional pula. Iaitu dengan menggunakan daun pokok semuluh ataupun keseluruhan bahagian pokok semuluh.


Daun Pokok Semuluh @ Polygonum Chinense


Caranya:


1. Ambil beberapa helai daun semuluh. Ataupun boleh ambil keseluruhan bahagian pokok semuluh.


Daun Pokok Semuluh - sumber


2. Bersihkannya terlebih dahulu.

3. Kemudian, rebus daun atau keseluruhan bahagian pokok semuluh sampai mendidih.

4. Setelah mendidih, biarkan air rebusan itu suam seketika.

5. Akhir sekali, jiruskan air rebusan tadi secara perlahan-lahan pada bahagian yang berkudis.


Selain kudis buta, air rebusan tadi turut berfungsi merawat penyakit kulit lain seperti kudis, panau dan ulser. Begitu juga jika nak hilangkan biasa akibat dipatuk ular, digigit anjing ataupun serangga. Caranya merawatnya tetap sama.


Sebagai tambahan, air rebusan tadi sebenarnya boleh diminum. Sekiranya anda mengalami cirit-birit, ada penyakit di usus besar, sakit kepala dan nak membersihkan darah, minumlah air rebusan daun semuluh ni. Ia dikatakan mampu mengubati 4 masalah yang dinyatakan tadi dengan izin-Nya.


Akhir sekali, jika anda sakit perut dan tidak tahu nak buat apa, gunakan daun pokok semuluh ni. Jadikan ia sebagai demah untuk mengubati sakit perut anda.


p.s: Wah, banyak betul khasiat daun semuluh ni yea. Boleh merawat pelbagai penyakit. Jadi, kalau anda jumpa tumbuhan ini, tanamlah saja di rumah. Senang nak guna nanti.


[ Demah = benda (spt pasir, air dll yg dipanaskan) utk menuam  bahagian badan yg sakit ~ Kamus Dewan Edisi Keempat]

Penawar Mujarab Mengubati Resdung

Saya dapati masih ramai yang bertanyakan cara mengubati resdung. Sebenarnya, saya pernah kongsikan beberapa petua resdung sebelum ini. Mungkin mereka terlepas pandang agaknya.


Begitu juga dengan masalah jerawat. Ramai yang menganggapnya berpunca daripada resdung. Anggapan tersebut sebenarnya tidak benar. Antara punca tumbuhnya jerawat adalah ketidakseimbangan hormon, tekanan mahupun keadaan persekitaran.


Manakala punca resdung pula;

- Keturunan (Genetik)

- Kurang Menitikberatkan Kebersihan

Terutamanya jika muka anda sering berpeluh dan terdedah kepada kotoran.

- Pemakanan

Makanan laut boleh menyebabkan resdung.

Mudah-mudahan lepas ini anda dapat membezakan kedua jenis penyakit di atas ya.


Baiklah, sekarang saya teringin pula nak kongsikan penawar resdung yang Insya-Allah mujarab. Rawatan ini menggunakan air kolah di masjid yang aktif serta dibacakan dengan ayat suci Al-Quran.

Air kolah di masjid yang aktif bermaksud airnya sentiasa bertukar kerana sering digunakan untuk berwudhu', bersih dan tidak berlumut. Harap anda jelas mengenainya ya.




Cara-caranya;


1. Tadah air kolah masjid tersebut dengan tangan kanan.

2. Bacakan Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi (Ayat 255, Surah Al-Baqarah) dan Surah Al-Fussilat (ayat 44).

3. Sedut sedikit air tersebut ke dalam hidung dan keluarkannya semula (sama seperti satu perkara sunat ketika berwudhu').

4. Seterusnya, gunakan baki air yang masih ada di tangan anda untuk membasuh muka.


Bagi memudahkan anda, saya sertakan satu video Ustaz Sharhan mengenai penawar resdung. Harap ia membantu anda mengubati resdung dengan lebih berkesan. Amin.






Selamat Mencuba dan amalkannya sehingga anda berjaya menghilangkan resdung!

Ayat Ringkas Menghilangkan Sakit @ Pening Kepala

Ramai di antara kita sering sakit kepala ataupun pening kepala. Kekadang tu, kita sendiri pun kurang pasti apakah punca sebenarnya. Sekejap baik, lepas tu sakit balik. Mak ai.... Makin bertambahlah pening dibuatnya.


Buat pengetahuan anda, ada dua kategori sakit kepala iaitu;

1. Berpunca dari bahagian dalam kepala

2. Berpunca dari bahagian badan yang lain


Sakit kepala yang berpunca dari dalam kepala amat jarang berlaku. Kalau berlaku pun disebabkan oleh angin ahmar, edema otak dan tumor. Sekiranya ia terjadi pada anda, sila dapatkan rawatan segera ya.

Manakala bagi sakit kepala jenis kedua, selalunya disebabkan oleh ketegangan, migrain ataupun servikogenik.


Ringkasnya, sakit kepala akibat ketegangan lazimnya dialami secara kerap. Adakalanya ia ringan dan adakalanya juga agak sederhana kuat di kedua-dua belah kepala. Rasa macam ada sesuatu yang mencengkam di kepala.

Akibatnya, bahagian kepala akan tegang seolah-olah macam ada sesuatu melilit serta menekan sekeliling kepala dengan kuat. Aduhh... memang sakit.


Untuk migrain pula, pesakit biasanya pening kepala secara berkala. Rasa sakitnya agak kuat serta berdenyut-denyut. Tapi, biasanya ia hanya terasa pada sebelah bahagian kepala. Tak seperti sakit kepala yang berpunca daripada ketegangan.

Akibatnya, penghidapnya mula hilang selera makan, loya ataupun mengalami muntah-muntah.


Bagi pening kepala jenis servikogenik, ia berlaku akibat ketegangan yang melibatkan otot skeletal. Ermmm, ia boleh juga dikaitkan dengan migrain. Tapi ia agak sukar untuk didiagnosis.



Doa Sakit Kepala - Ayat 19 Surah Al-Waqiah

Baiklah, walau apapun jenis sakit kepala yang dialami, saya ingin kongsikan satu doa ringkas tapi mujarab bagi mengatasinya. Sila rujuk video di atas yang saya sertakan khas buat rakan-rakan yang beragama Islam.

Caranya;

- Letakkan tangan kanan anda pada bahagian kepala yang sakit

- Baca ayat 19 Surah Al-Waqiah secara berterusan sampai hilang rasa sakit kepala anda 


Mengikut pengalaman saya, tangan anda mungkin akan terasa panas sedikit selepas beberapa ketika membacanya disebabkan bahang panas yang keluar dari kepala.

Mudah-mudahan ia dapat mengatasi sakit kepala anda. Amiin.

Petua Tradisional Mencegah Kanser

Sedar atau tidak, kita sebenarnya terdedah kepada risiko penyakit kanser (barah) setiap hari. Walau kita sehabis baik amalkan gaya hidup sihat, tapi adakah orang di sekeliling pun sama? Saya tak rasa begitu.

Begini, contoh yang paling senang ialah perokok. Saya yakin kebanyakan rakan-rakan kita merokok, kaaannnn? Jadi, secara tak langsung kita pasti hidu asap rokok tiap-tiap hari. Akibatnya, kita pun kena tempiasnya. Iaitu berisiko dapat kanser tekak dan paru-paru. Huhuhu...

Tapi, kita sebenarnya boleh mencegah atau mengelak daripada dijangkiti kanser. Saya ingatkan sekali lagi, mencegah kanser. Bukan mengubat, merawat, menyembuh mahupun penawar kanser tau.

Ini kerana, kanser di peringkat awal masih boleh dikawal. Peluang untuk sembuh pun ada. Sebaliknya kalau dah teruk, ia boleh menyebabkan kematian. Moga kita semua peka dengan perkara ini ya.


Baiklah, cara tradisional untuk mencegah kanser ialah dengan memakan daun Pokok Tujuh Bilah setiap hari. Rupa pokoknya seperti di bawah ini.


Pokok Jarum Tujuh Bilah - Wikipedia


Cara memakannya;


1. Ambil sehelai dua daun pokok tujuh bilah yang telah dibersihkan dan makan secara mentah sahaja.

Ataupun

2. Kalau tak gemar makan begitu saja, buatlah ulam untuk dimakan bersama nasi setiap hari. Kalau nak cicah sambal, budu ataupun cencaluk pun boleh.

Seperkara lagi, daun ini sebenarnya akan mengeluarkan lendir. Rasanya agak tawar. Jika anda kurang selesa dengan lendir tersebut, ambil saja bahagian pucuk mudanya. Kurang sikit lendirnya.

Amalan ini sebaik-baiknya diamalkan setiap hari. Bukannya berselang-seli ataupun sekejap makan, lama sekejap tak makan. Kita pun sedia maklum bahawa setiap hari kita terdedah dengan risikonya, kaannn?

Akhir sekali, anda juga boleh merujuk artikel Petua Kesihatan: Mencegah Kanser sebagai tip tambahan menjauhi kanser.


p.s: Oh, ya! Sebelum terlupa, amalan ini turut berguna mengelakkan sakit kepala (pening kepala), mengurangkan rasa lenguh-lenguh serta boleh menyegarkan badan anda.

3 Petua Hilangkan Kulit Kering

Seperti yang pernah dinyatakan dulu, ciri kulit kering adalah pori-porinya kecil. Kalau ada yang tanya pori-pori tu apa? Ia adalah saluran minyak kulit di permukaan kulit. Di mana ia juga menunjukkan jenis kulit seseorang. Sama ada normal, berminyak ataupun kering.

Sebelum ini, saya pernah kongsi beberapa rawatan berkaitan masalah kulit kering. Sekarang, saya akan tambah lagi 3 cara untuk melembabkan kulit yang kering. Amacam, suka tak?



Cara #1


1. Ambil isi 1 biji buah avokado.


Buah Avokado - en.wikipedia.org


2. Tumbuk lumat isi buah avokado hingga keadaannya menjadi seakan bubur.

3. Sapukannya secara nipis pada seluruh muka anda dan biarkan hingga kering.

4. Setelah kering, cuci muka anda dengan air suam.

5. Kemudian cuci pula seluruh kulit muka anda dengan ais (air batu).

6. Akhir sekali, lap muka anda dengan tuala @ kain lembut yang bersih secara perlahan-lahan.



Cara #2


1. Ambil isi 1 biji buah mangga.

2. Tumbuk lumat atau lenyek isi buah mangga hingga keadaannya menjadi seperti bubur.

3. Sapukannya secara nipis pada seluruh muka anda dan biarkan hingga kering.

4. Setelah kering, cuci muka anda dengan air suam.

5. Kemudian cuci pula seluruh kulit muka anda dengan air batu (ais).

6. Akhir sekali, lap muka anda dengan tuala @ kain lembut yang bersih secara perlahan-lahan.



Cara #3


1. Ambil sedikit susu lembu penuh krim.

2. Sapukan susu tersebut ke seluruh muka anda.

3. Biarkan hingga ia kering atau lebih kurang dalam 20 - 30 minit.

4. Kemudian, cuci muka anda dengan air suam dan diikuti dengan beberapa ketul air batu (ais).


Sekarang anda dah tahu 3 cara melembabkan kulit kering, kan? Pastikan anda yang memiliki kulit kering tu cuba salah satu daripadanya tau.


Moga Berjaya!

Isteri Dingin Memanjang... Apa Suami Patut Buat?

Disebabkan kesibukan rutin harian, kebanyakan isteri mungkin agak dingin bila diajak bersama. Maklumlah, keletihan tahap maksimum setelah menguruskan keperluan suami dan anak-anak. Itu belum campur dengan urusan di tempat kerja lagi. Memang penat, kan?

Tapi kalau dapat suami yang memahami dan ringan tulang, mungkin tak terasa sangat, kan lagi? Orang kata, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Selain menjimatkan masa, banyak lagi perkara yang boleh dilakukan bersama. Dengan penuh berkualiti lagi. Tak gitu?


Selain daripada membantu isteri menguruskan rumahtangga, ada satu lagi kunci untuk mengembalikan keghairahannya. Iaitu dengan menyediakan ramuan tradisional khas. Anda perlu berikan isteri minum ramuan ini dulu setiap hari selama seminggu.


Bagi menyediakan ramuan tradisional ini, anda perlukan;

~ 20 biji lada hitam

Lada Hitam @ Black Pepper

~ Halia sebesar ibu jari

~ 1 biji kuning telur ayam

~ 50 gram sarang burung walit


Cara penyediaannya;


1. Bersihkan lada hitam dan halia. Tumbuk lumat keduanya.

2. Sarang burung walit juga perlu dibersihkan. Buang segala bulu dan kotoran yang melekat.

3. Kemudian, rebuskan sarang burung walit dengan 2 gelas air.

4. Seterusnya, masukkan lada hitam dan halia yang telah dilumatkan ke dalamnya.

5. Biarkan kesemua ramuan tersebut mendidih.

6. Setelah mendidih, biarkan ia suam dan tapiskan ke dalam cawan atau gelas.

7. Masukkan kuning telur ke dalam cawan berisi air rebusan tadi dan kacau hingga sebati.


Berikan isteri anda meminumnya dengan penuh kasih sayang. Jangan terlalu memaksa atau berkeras. Berikan dorongan agar si isteri dapat minum secara teratur selama seminggu. Ini untuk kebaikan anda juga. Setelah seminggu berlalu, sepatutnya anda dah boleh lihat perubahannya.


Selamat mencuba & moga hubungan intim anda kembali seperti dulu-dulu ataupun lebih menggelegak daripada sebelumnya.

Cara Menghilangkan Jerawat dan Bintik Hitam

Ramai di antara kita amat runsing dengan masalah jerawat dan bintik hitam yang ehhh... tetiba jer muncul. Saya faham benar dengan situasi tersebut. Kurang keyakinan dan teramat malu nak berdepan dengan orang lain. Terutamanya mereka yang masih remaja, kannn? Memasing nak menghilangkan jerawat dengan sekelip mata cepat aje.

Sekiranya anda nak hilangkan jerawat dengan cepat, anda takkan menjumpainya di sini. Tapi, kalau anda mahukan cara yang lebih mudah, mungkin ia sedikit mengembirakan. :)


Cara yang dimaksudkan ialah dengan mengamalkan pemakaian sabun taharah. Sabun seluruh tubuh badan anda dengan sabun taharah setiap kali mandi. Lepas itu, biarkan ia menyerap ke kulit anda dalam 30 saat. Kalau nak lama sikit pun boleh.

Akhir sekali, bilas muka dan tubuh badan dengan air secukupnya. Itu saja. Mudah, kan?

Andainya anda belum pernah tengok bagaimana rupanya, lihat saja gambar di bawah. Kalau tak cakap pun, anda dah tahu, kan? Pandai! 


Sabun Taharah


Sabun taharah ni banyak khasiatnya. Selain menghilangkan jerawat dan jeragat, saya senaraikan sebahagiannya khas untuk anda yea;

~ Mengurangkan garis penuaan dan kedutan

~ Menghilangkan penyakit kulit seperti gatal-gatal kulit, kudis, kulit kering, kurap, panau dan tumit pecah.

~ Menghalus serta melembabkan kulit

~ Menghilangkan bau badan


Tapi, di mana nak dapatkannya??? Carilah saja di farmasi yang berdekatan. Pasti ada. Harga yang tertera, biasanya RM5.90. Tapi anda boleh dapat RM5 sekotak, bergantung pada kedai.

Jika anda masih tak dapat cari, nak beli secara online pun boleh. Anda perlu tambah kos penghantaran saja. Taipkan saja "sabun taharah", anda mesti jumpalah. =)


Selamat mencuba sabun taharah yea!


P.S: Masa saya beli sabun taharah ni pada 2/2/2016, harganya dah berubah kepada RM7 sekotak. Harap maklum ya.



Kaki Bengkak Atau Terseliuh! Apa Nak Buat?

Kaki ni kalau dah bengkak, pergerakan pun agak terbatas. Nak dijadikan cerita, bebaru ni kaki saya bengkak. Masa beriadah tu tak terasa sangat. Bila malam, barulah terasa sakitnya. Perggghhhh... Tuhan saja yang tahu.


Jadi, apa yang patut dibuat bila kaki dah membengkak?


- Pertamanya, carilah halia tua

- Tumbuk halia tu sampai hancur

- Kemudian, alaskan bahagian kaki yang bengkak dengan kain atau tuala kecil yang bersih. "Bandage" pun boleh.

Bandage


- Letakkan halia hancur tadi pada kawasan yang bengkak dan balut dengan kemas.


Sebaik-baiknya, buat sebelah malam sebelum tidur. Esok pagi barulah buka balutan tersebut. Kalau masih belum surut sepenuhnya, ulangi semula pada malam kedua, ketiga dan seterusnya sampai sembuh. Ok. ;)



Tapi, ada cara lain yang boleh anda cuba jika mengalami masalah serupa. Sama ada bengkak ataupun terseliuh, kedua-duanya boleh applikasikan cara di bawah. Lebih-lebih lagi jika di rumah anda ada pokok Bunga Tahi Ayam. Hehehe...


1. Ambil beberapa helai daun pokok Bunga Tahi Ayam.


Pokok Bunga Tahi Ayam - Wikipedia


2. Ramas daun tersebut dan pupukkan pada bahagian yang bengkak mahupun terseliuh.

3. Kemudian, balut dengan kain sehinggalah bengkak tu hilang.


Itu saja petua kali ini khusus buat anda yang mengalami bengkak ataupun terseliuh. Mudah-mudahan ia berguna kepada anda yang memerlukan.


Selamat Mencuba!

2 Cara Tradisional Mengubati Resdung

Ramai di antara kita menyangka jerawat berpunca daripada resdung. Tapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung. Jika masih musykil, cuba baca penerangan Dr. Haseenah yang sememangnya pakar tentang jerawat. Jadi, mulai sekarang, saya harap anda dapat membezakannya ya.

Sehubungan itu, di sini saya ingin berkongsi cara mengubati resdung. Ada 2 cara buat masa ini iaitu;


#1 Kulit Pokok Putat


- Pertama, anda perlukan kulit batang pokok putat. Anggarannya kira-kira sebesar kotak rokok.


Pokok Putat @ Barringtonia Racemosa - IdrisTalu


- Kemudian, bersihkan dan jemur kulit pokok putat hingga kering.

- Bakar kulit yang dah kering tadi sedikit demi sedikit.

- Sedut asapnya sehinggalah terasa nak bersin.

- Anda akan rasa ada lendiran yang keluar dari hidung.

Amal dan ulangi petua di atas sehinggalah anda berasa lega.



#2 Campuran 3 bahan


- Sediakan buah anggur, tepung gandum dan biji jintan hitam.

- Pastikan kuantiti ketiga-tiga bahan di atas adalah sama banyak yea.

- Campurkan kesemua bahan di atas dan tumbuk sampai hancur.

- Akhir sekali, anda perlu meminum bahan-bahan tersebut.

Petua #2 ini perlu dibuat 2 kali sehari. Iaitu sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang.


Sekian dulu perkongsian buat kali ini. Harap ia berguna buat anda yang ada resdung. Selamat Mencuba!

2 Petua Mengurangkan Komplikasi Kencing Manis

Bagaimana nak tahu sama ada kita ni ada kencing manis atau tak? Salah satunya ialah dengan mencurahkan air kencing sendiri ke tanah. Kemudian tunggu dan lihat ada tak semut yang mendekati kawasan tersebut. Jika ada, berkemungkinan kita menghidapinya.


Selain itu, terdapat beberapa tanda awal kencing manis iaitu;

- Berat badan turun secara mendadak

- Jika mengalami luka, ia lambat sembuh

- Kerap membuang air kecil

- Kerap rasa lapar dan dahaga

- Mengalami lemah otot

- Mengalami kegatalan pada bahagian kemaluan

- Mudah letih atau asyik letih memanjang

- Nafas berbau manis

- Penglihatan menjadi semakin kabur

Pun begitu, sekiranya tidak ada tanda-tanda di atas tak semestinya seseorang itu bebas daripada penyakit kencing manis. Jika inginkan kepastian, adalah lebih baik lakukan pemeriksaan doktor, kan?


Di sini, saya cuma ingin kongsikan petua tradisional bagi mengurangkan komplikasi kencing manis. Iaitu melalui 2 kaedah. Satu, dengan menggunakan kulit buah manggis. Keduanya menggunakan petai si raja ulam.


Petua 1 - Kulit Buah Manggis


1. Ambil kulit buah manggis dan bersihkannya.


Buah Manggis


2. Kemudian, keringkan kulit tadi.

3. Rebuskan kulit buah manggis yang dah kering tadi sampai mendidih.

4. Setelah itu, biarkannya suam dan minumlah secara perlahan-lahan.


Air rebusan ini perlu diminum dua kali sehari. Walaupun rasanya agak kelat dan pahit, jika diamalkan mampu mengurangkan tahap penyakit kencing manis yang dihidapi.


Petua 2 - Petai


Anda boleh pilih sama ada nak memakannya secara mentah, merebus ataupun mencapurkannya dalam masakan. Biasanya sambal tumis petai yang menjadi pilihan, kan?

Amalan memakan petai ni bagus kerana ia mampu menghalang jangkitan serta mengubati sistem pembuangan air kecil kita. Selain kencing manis, petai juga berkhasiat mengurangkan tekanan darah tinggi.


Akhir kata, bagi yang menghidapi penyakit kencing manis ataupun darah tinggi, diharap petua ini dapat memberikan anda sedikit maklumat untuk mengelakkannya daripada bertambah teruk.

Macam Mana Nak Hilangkan Panau Atau Kurap?

Bagi yang tinggal di asrama, masalah dijangkiti panau dan kurap memang biasa berlaku. Lebih-lebih lagi jika dapat rakan sebilik @ se"dorm" yang kurang menitikberatkan kebersihan.

Pun begitu, bila balik kampung nanti (Cuti Raya Cina), boleh cuba satu petua tradisional untuk hilangkan kurap mahupun panau yang bakal saya kongsikan sekejap lagi. Bahan utama yang perlu dicari ialah akar pokok lengkuas genting.

Lengkuas genting ni agak berbeza sikit daripada lengkuas biasa. Saiz dan akarnya lebih kecil. Sila rujuk gambar di bawah ya. Anda boleh mencarinya di kawasan tanah poros yang cepat menyerap air.


Pokok Lengkuas Genting - Flickr.com


Baiklah cara merawat kurap dan panau dengan tumbuhan ini seperti berikut;

1. Ambil akar pokok lengkuas genting dalam segenggam.

2. Bersihkan akar tu dulu sebelum diparut dan diperah.

3. Tujuan memarut dan memerah akar tu adalah untuk mendapatkan airnya.

4. Air tersebut kemudiannya boleh disapu atau alirkan saja pada bahagian yang mengalami kurap ataupun panau.

Ulang petua ini beberapa kali sehinggalah panau ataupun kurap pada kulit anda hilang sepenuhnya.


Selain akarnya yang boleh dibuat ubat panau dan ubat kurap, daun beserta akar pokok ini juga boleh digunakan bagi mengatasi sakit urat dan sakit tulang.


Begini caranya;

1. Ambil beberapa helai daun dan akar lengkuas genting.

2. Bersihkan daun serta akar tadi.

3. Tumbuk lumat kesemua bahan di atas.

4. Rebuskan bahan yang telah ditumbuk lumat sampai mendidih.

5. Setelah mendidih, suamkan air rebusan tadi.

6. Kemudian, barulah sapukan air rebusan pada bahagian yang terasa sakit.

Sapu lagi selepas beberapa jam hinggalah rasa sakit urat ataupun sakit tulang berkurangan dan kembali lega seperti sediakala.


Sekian saja petua yang mampu saya kongsikan dengan anda yang budiman. Jumpa lagi lain kali yea. Kalau nak komen atau kongsikan pengalaman anda, sila gunakan ruangan komen@ulasan sebaik mungkin yea.

Kacip Fatimah Bukan Hanya Untuk Wanita?

Bila bercerita tentang Kacip Fatimah, fikiran kita pasti tertumpu kepada wanita. Memang tidak syak lagi, kan? Normal la tu. Tapi selain untuk wanita, ada 1 khasiat Pokok Kacip Fatimah yang mungkin boleh digunakan oleh kaum lelaki.

Khasiat yang dimaksudkan ialah menyembuhkan demam malaria. Mungkin ada sesetengah anda yang mengenalinya sebagai demam ketar mahupun demam kura.


Jika demam malaria ni tak dirawat pada peringkat awal, ia boleh membawa maut. Antara tanda-tanda jika anda dah kena demam malaria ni adalah;

~ demam yang diikuti dengan demam berpeluh

~ rasa seram sejuk

~ badan menggeletar

~ badan letih dan lesu

Justeru, saya terpanggil untuk kongsikan satu petua yang mungkin bermanfaat untuk mereka yang memerlukan.



Caranya seperti berikut;


1. Ambil beberapa helai daun kacip fatimah (rujuk gambar di bawah) dan bersihkannya.


Pokok Kacip Fatimah - http://drrozmey.wordpress.com


2. Rebus kesemua daun tersebut hingga mendidih.

3. Kemudian, tapis air rebusan tadi dan tuangkannya ke dalam cawan.

4 Biarkan ia suam seketika dan minumlah perlahan-lahan.


Ulangi petua ini sehinggalah anda benar-benar pulih.


Pun begitu, agak tidak lengkap jika saya tak sertakan sekali khasiat kacip fatimah untuk wanita, kan? apa barang, tak adillah camni Ok... ok, air rebusan akar kacip fatimah ni baik untuk wanita yang baru lepas bersalin

Caranya;

1. Ambil akar pokok kacip fatimah dan bersihkan.

2. Rebuskan akarnya hingga mendidih.

3. Setelah itu, tapiskan air rebusan tadi ke dalam cawan.

4. Biarkan ia suam dan minumlah perlahan-lahan.


Begitulah 2 khasiat pokok kacip fatimah @ "Phyllagathis Rotundifolia yang telah anda ketahui. Satu, air rebusan daunnya dan kedua ialah air rebusan akar pokok kacip fatimah. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk anda yang memerlukan.

6 Khasiat Pokok Ekor Anjing @ Plantago Major

Pernah dengar tak nama pokok ni? Saya pun baru pertama kali mendengarnya. Pokok Ekor Anjing ni dikatakan mempunyai pelbagai khasiat. Antara yang anda pasti suka ialah daunnya boleh menghilangkan jerawat. Hehe...

Selain daun, batang pokoknya pula mampu meredakan demam panas, merawat luka, mencuci mata yang sakit, mengurangkan sakit gigi dan gusi bengkak. Untuk mengetahui caranya, saya akan kongsikannya sebentar saja lagi.


Pokok Ekor Anjing - capel.verygreen.co.uk



A. Meredakan Demam Panas


1. Ambil beberapa batang pokok ekor anjing dan bersihkan.

2. Rebuskan batang pokok tadi hingga mendidih.

3. Kemudian, tapiskan air rebusan tersebut ke dalam cawan.

4. Biarkan ia seketika. Bila dah agak suam, barulah diminum secara perlahan-lahan.

5. Air rebusan ini boleh diminum beberapa kali sehari.

Amalkan minum air tadi sehinggalah keadaan panas makin berkurangan dan sembuh.


Selain memulihkan demam panas, khasiat air rebusan ini boleh digunakan untuk mencuci luka serta mencuci mata bagi melegakan sakit mata.

Begitu juga jika mengalami sakit gigi ataupun gusi bengkak. Anda boleh berkumur-kumur dengan menggunakan air rebusan batang pokok ekor anjing ini. Boleh berkumur berulang kali sehinggalah rasa sakit yang dirasai berkurangan.



B. Hilangkan Jerawat


Kalau tadi kita gunakan batangnya, sekarang daunnya pula yang diperlukan.

1. Ambil beberapa helai daun pokok ekor anjing dan bersihkan.

2. Tumbuk lumat kesemua daun tadi.

3. Akhir sekali, sapukan pada bahagian muka yang berjerawat sebelum tidur.



Begitulah 6 khasiat pokok ekor anjing yang mampu saya kongsi dengan anda semua. Terima kasih kerana sudi membaca petua ini sampai habis yea.